Kritikan Sajak Pendosa

KRITIKAN BUKU ANTOLOGI SAJAK PENDOSA

Sajak-sajak yang terdapat dalam Buku Antologi Sajak Pendosa yang diselenggarakan oleh Lokman Abdul Samad merupakan himpunan puisi yang bersifat keagamaan dan ketuhanan. Penulis menghasilkan karya mereka dengan memerhatikan kehidupan masyarakat dan apa yang dialami oleh diri sendiri. Dalam pada itu, puisi-puisi yang ditulis juga mengandungi unsur sindiran terhadap masyarakat bertujuan untuk membawa masyarakat untuk sedar daripada kealpaan dunia sehingga lupa akan akhirat dan Tuhan-Nya sendiri. Puisi-puisi tersebut dapat dijadikan sebagai teguran kepada manusia yang mementingkan dunia.

Dalam sajak Syahid Dalam Amarah karya Adiaulhaq membawa maksud bahawa manusia sudah jauh dari alur kehidupan yang sepatutnya. Puisi ini berbicara tentang hawa nafsu dunia yang telah merantai dan menguasai manusia sehingga mereka tidak dapat melepaskan diri dari lingkaran hawa nafsu tersebut. Penulis menyeru agar manusia yang pendosa segera cari pertaubatan yang benar selagi masih diberi peluang untuk insaf. Petikan sajak ini juga menyindir sikap segelintir manusia yang tidak suka menerima teguran orang lain walaupun sudah jelas bersalah kerana menganggap diri mereka sentiasa benar dengan memutarbelitkan sesuatu kenyataan. Puisi ini membawa penulis untuk merenung diri sendiri agar sentiasa beringat agar dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan sifat duniawi yang membawa kepada kebinasaan kelak.

Hawa nafsu tidak mahu kembali,
Menghadap Dzat yang suci
Ketika masih bernafas di dunia ini
Insan harus segera pulangkan kembali amanah
Yang diberi tatkala bersaksi berjanji
Insan segeralah insaf dan sedarlah diri
Pulangkan semula amanah diri
‘Syahid Dalam Amarah’
Adiaulhaq







Seterusnya dalam sajak Apa Lagi Yang Dicari karya Adnin pula menyatakan bahawa sesungguhnya Allah itu tidak pernah tidur bahkan Dia sentiasa mendengar dan melihat setiap kesulitan yang dihadapi oleh manusia. Dalam petikan sajak ini menyindir sifat segelintir manusia yang memiliki sifat ego yang tinggi sehingga merasakan diri merekalah yang terhebat di mata dunia. Selain itu, manusia juga cenderung untuk memilih menyakiti diri sendiri sekiranya menghadapi masalah berbanding mencari Tuhan.

Tuhan tak pernah bersembunyi
Insan menzalimi diri sendiri
Insan memilih sendiri
Lari untuk meyakini
‘Apa Lagi Yang Dicari’
Adnin


Dalam sajak Ikrar karya Ismailatiff membawa menyatakan bahawa segala sesuatu itu datangnya dari Tuhan. Tidak ada yang lebih baik sebaik-baik Allah dan tidak ada yang indah seindahNya serta tidak yang sempurna seperti sifat Allah. Puisi ini membawa penulis untuk mensyukuri segala yang dimiliki kerana tanpa Allah manusia seakan-akan hidup dalam kekosongan. Sifat Allah juga patut dijadikan teladan dalam kehidupan seorang manusia dimana perlakuan Allah itu sesungguhnya amat indah dan manusia sepatutnya sentiasa meninggikan nama Allah kerana kebaikan dan kemurahan Allah.

Nyataku kerana wujudmu
Sempurnaku kerna sifatmu
Syuhudku kerna namamu
Solatku kerna af’almu
‘Ikrar’
Ismailatiff

Dalam puisi Singgahsana karya Hajirikusyuk, jelas menunjukkan bahawa kerendahan hati adalah hal yang terpenting dalam menyedarkan individu. Dapat dillihat tanpa kehadiran Tuhan dalam hidup maka manusia hidup dalam kekosongan. Hal ini demikian kerana manusia hidup berlandaskan ajaran dan perintah yang tertulis dalam kitab. Hidup diluar kehendak Allah itulah yang membawa manusia hanyut dalam kancah dosa dunia dimana mereka semakin alpa dengan keduniawian.

Apabila nyata ketiadaan dirimu itu
Maka nyatalah yang ADA, siapakah yang Ada itu?
Tidak lain, KEBENARAN (Al Haq), oleh itu
“matikanlah dirimu sebelum kamu mati”
‘Singgahsana’
Hajirikusyuk

Seterusnya adalah sajak Bersama Tuhan yang ditulis oleh Hajirikusyuk. Sajak tersebut menjelaskan bahawa sesetengah masyarakat yang masih tercari-cari dimana Tuhan sedangkan Dia sentiasa ada kerana bersifat Maha Hadir. Penulis menyedari bahawa tidak ada batas ruang dan waktu untuk bersama Tuhan. Dengan mendekatkan diri kepada-Nya penulis merasa tenang dan gembira kerana Tuhan akan sentiasa memerhati umat-Nya. Dengan yang demikian, sebagai manusia yang tidak larti dari dosa seharusnya mengelakkan diri daripada melakukan sesuatu yang dimurkai Tuhan dan yang menjauhkan dari Tuhan.

Allah itu tidak terpisah
Oleh jauhnya jarak
Dan tidak terikat oleh
Ruang dan waktu
‘Bersama Tuhan’
Hajirikusyuk

Kesimpulannya, sajak-sajak yang disampaikan oleh penyajak melalui nukilan para penulis dalam buku ini berunsurkan ketuhanan. Buku ini juga mampu membuka minda manusia untuk sentiasa menyedari kesilapan yang dilakukan.
Kehidupan dunia yang sementara akan menyebabkan manusia jatuh dalam gelombang dosa disebabkan kealpaan mereka tentang dunia. Oleh itu, mereka haruslah segera kembali ke jalan yang benar dengan berpaksikan ajaran agama yang betul.

Comments